Login


Register | Recover Password
 

6 LANGKAH AWAL YANG PERLU DIBERI PERHATIAN OLEH PEMBELI UNTUK ELAK DARI DITIPU


Ejen dan Perunding hartanah menipu? Bersikap tidak profesional? Bagaimana cara mempersiapkan diri supaya tidak merasakan kita tidak ditipu?

Tadi saya ada terbaca dalam satu forum tersohor yang seorang pembeli rumah merasakan dirinya ditipu oleh perunding hartanah apabila merasakan rumah yang dibelinya adalah melebihi harga pasaran apabila pihak bank hanya memberitahu pinjaman perumahan beliau hanya lulus 80% sahaja dari harga yang dipersetujui.

Yang lebih merunsingkan beliau, perjanjian jual beli telah ditandatangani dan sudah di matikan setem di LHDN. Beliau menyatakan ketidaksediaannya untuk membayar tambahan 10% lagi. Jadi apa yang perlu dilakukan?

Pada pendapat saya perkara ini tidak seharusnya berlaku jika pembeli mengambil beberapa langkah sebelum bersedia menandatangani perjanjian jual beli. Berikut adalah 6 langkah awal yang perlu diberi perhatian:

1. Kenalpasti Faktor Pemilihan Hartanah. 

Disarankan untuk anda tahu apakah faktor-faktor anda memilih sesuatu hartanah atau sesuatu kawasan sebelum anda membelinya. Ada diantaranya menjadikan faktor dekat dengan rumah ibubapa, dekat dengan tempat kerja atau sekolah anak, rumah mempunyai tanah yang luas, berhampiran dengan LRT/MRT dan kemudahan lain, jalanraya atau lebuhraya yang hebat dan besar atau sebagainya sebagai faktor pemilihan.

Apapun ianya terpulang kepada anda kerana dengan adanya faktor-faktor ini, ianya dapat memperkuatkan azam anda untuk memiliki rumah.

2. Semak Harga Pasaran.

Sebolehnya, semaklah dahulu harga pasaran dengan beberapa perunding hartanah yang memegang senarai hartanah di kawasan tersebut. Kebiasaannya, perunding hartanah yang menjual bekerjasama rapat dengan pegawai bank untuk mengisytiharkan harga pasaran hartanah tersebut.

Untuk lebih kepastian, boleh juga berhubung dengan rakan-rakan yang bekerja sebagai pegawai bank yang menguruskan hal-hal pinjaman hartanah jika merasakan ‘something fishy’ dari perunding hartanah yang dihubungi. Beruntunglah anda jika anda baik atau rapat dengan pegawai bank.

3. Tahu DSR (Debt Service Ratio) Anda. 

Bagus untuk kita jika mempunyai ilmu serba sedikit mengenai pengiraan DSR walaupun ianya hanyalah pengiraan asas. Dengan pengetahuan mengenai DSR ini, anda akan tahu kebolehupayaan anda untuk membuat hutang dengan pihak bank. Jika anda ingin tahu cara asas pengiraan DSR, boleh ke klik sini.

Ada kes, pinjaman hanya lulus 80% sahaja kerana pihak bank telah membuat pengiraan bahawa peminjam hanya layak dan mampu untuk menanggung hutang dan bayaran bulanan sebanyak 80% dari harga parasan rumah. Dengan pengetahuan mengenai DSR, kita boleh rancang berapakah harga hartanah yang patut dibeli.

4. Pergi Membuat Lawatan Ke Rumah. 

Antara perkara yang penting untuk dilakukan adalah pergi membuat lawatan ke rumah yang hendak dibeli. Ini akan memberikan gambaran sebenar kepada anda bagaimanakah keadaan rumah, berapa bajet dan kos tambahan yang perlu anda sediakan untuk membaikpulih rumah tersebut nanti.

Dengan membuat lawatan juga, anda boleh membuat tawaran yang anda fikirkan baik untuk anda dan tuan rumah. Tawaran yang baik adalah tawaran yang memuaskan hati kedua-dua pihak dan semestinya ianya tidak melebihi harga pasaran yang ditetapkan oleh pihak bank.

5. Semak Surat Persetujuan Beli Dari Perunding Hartanah.

Digalakkan anda untuk menyemak semula dan memahami terma dan syarat yang termaktub dalam surat persetujuan beli (Agreement to Purchase – ATP). Jika kurang pasti, digalakkan untuk bertanya kepada perunding hartanah terma-terma tersebut. Biasanya, perunding hartanah yang baik akan menerangkan segala terma di dalam ATP tersebut supaya tidak berlaku salah faham di kemudian hari.

Cadangan saya, selain terma-terma ‘standard’ yang ada yang mana ianya lebih kepada menerangkan tempoh masa proses jual beli, cuba juga untuk pastikan terma-terma berikut dimasukkan secara bertulis:
– ‘Subject to 90% loan approval.’
– ‘As it is basis’ atau ‘as is where is’
– ‘100% refund if loan not approve’

6. Dapatkan Pinjaman Terlebih Dahulu.

Seboleh-bolehnya, pastikan anda tahu bahawa pinjaman anda telah lulus barulah anda melantik pegu untuk urusan menyediakan perjanjial jual beli. Maksud tahu adalah tahu berapa jumlah pinjaman, tahu berapa jumlah bayaran bulanan, tahu berapa peratus kadar pinjaman dan lain-lain.

Ini kerana, jika pinjaman yang ditawarkan kepada anda adalah kurang dari jangkaan ataupun kurang dari 90%, anda berhak untuk menarik diri dari meneruskan pembelian berdasarkan pada surat persetujuan beli sebelum ini dan mendapatkan kembali wang kesungguhan (earnest deposit) anda.

Jika sudah ‘terlanjur’ menandatangani perjanjian jual beli (SPA), tidak ada jalan lain untuk anda menarik diri melainkan anda menyediakan wang beza yang mencukupi atau bersedia kehilangan deposit 10% yang telah anda bayar.

Semoga bermanfaat untuk anda semua.

Perlukan khidmat Perunding/Ejen Hartanah Berdaftar untuk membantu anda jual rumah? Agensi saya akan bantu bermula dari semakan MARKET VALUE, kajian MARKET DEMAND, menjalankan PEMASARAN hinggalah menemui pembeli.

Hubungi segera di talian 010-2293756 (Syazana Jaffary – REN25528). Serahkan kekusutan proses jual rumah kepada agensi saya.

Sumber:
www.hartanahmilenium.com

Print